V Shem-Wee Kiong juarai Siri Super Dunia


KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong membuktikan betapa mereka sememangnya layak memegang status sebagai pasangan nombor satu dunia selepas merekodkan gelaran pertama saingan Siri Super Akhir 2016, sebentar tadi.

Kejayaan itu hadir selepas V Shem-Wee Kiong yang menjadi wakil tunggal negara melepasi saingan peringkat kumpulan, mengatasi beregu Jepun yang juga pilihan pertama, Takeshi Kamura-Keigo Sonoda 21-14, 21-19 dalam aksi final di Kompleks Sukan Hamdan, Dubai, Emiriah Arab Bersatu (UAE).

"Saya ucapkan terima kasih kepada semua penyokong Malaysia yang hadir hari ini bagi memberi sokongan. Tahun 2016 adalah tahun yang menakjubkan bagi kami kerana berjaya meraih banyak kejayaan.

"Pasangan Jepun hari ini bermain dengan baik dan pantas dan kami terpaksa memperlahankan permainan bagi menerapkan strategi kami. Ia berkesan untuk kami," kata Wee Kiong.

Gelaran juara di Dubai menyaksikan anak didik Jeremy Gan itu menutup tirai kalendar 2016 penuh bergaya selepas turut meraih beberapa lagi kejayaan sebelum ini termasuk memenangi pingat perak Olimpik Rio 2016 dan menjuarai Terbuka Denmark, September lalu.

V Shem-Wee Kiong menjadi beregu Malaysia kedua yang menjuarai Siri Super Akhir selepas Koo Kien Keat-Tan Boon Heong melakukannya pada 2008.

Lebih bermakna, aksi konsisten ditunjukkan pasangan itu sepanjang kejohanan kali ini membuktikan mereka cukup matang bagi menyerap segala tekanan termasuk membawa status sebagai beregu nombor satu dunia.

Kini, Malaysia tidak lagi hanya mengharapkan Datuk Lee Chong Wei bagi menghadiahkan kemenangan buat negara apabila V Shem-Wee Kiong tampak bersedia bagi memikul tanggungjawab itu.
Share on Google Plus

About Unknown

This is a short description in the author block about the author. You edit it by entering text in the "Biographical Info" field in the user admin panel.
    Blogger Comment
    Facebook Comment

0 comments:

Catat Ulasan

loading...